Tokan dadah ditahan bersama 53.4 gram syabu

Kota Marudu: Seorang lelaki ditahan bersama dadah jenis syabu dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Gailun Laut, Pitas, di sini, kelmarin.

Dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu itu, turut berjaya merampas syabu seberat 54.3 gram.

Suspek berusia 20-an ditahan bersama 53.4 gram dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, operasi serbuan diketuai Inspektor Mohd Redzuan Amat Lin itu berjaya menahan seorang lelaki berusia 20-an.

Katanya, hasil serbuan, polis turut menemukan dua paket plastik lutsinar berlainan saiz yang berisi ketulan-ketulan hablur disyaki dadah jenis Methamphetamine.

Dadah jenis syabu seberat 53.4 gram yang dirampas.

“Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dadah.

“Suspek terus ditahan dan dibawa ke IPD Kota Marudu untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Zairolnizal berkata, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek kini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula semalam hingga 24 April depan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 15 sebatan, jika tidak dijatuhkan hukuman mati,” katanya.

Sementara itu, Zairolnizal menyeru kepada orang ramai supaya sentiasa bekerjasama kepada pihak polis menyalurkan maklumat tepat.

Katanya, ia adalah salah satu usaha membenteras jenayah dadah khususnya di Daerah Kota Marudu dan Pitas.

“Membanteras jenayah dadah adalah misi yang menjadi keutamaan polis khususnya di daerah ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|