Bekas penagih terima hidayah peluk Islam ketika jalani rawatan di Puspen

Papar: “Tertarik dengan agama Islam sudah lama namun saya tidak mahu mengucap dua kalimah syahadah dengan dipengaruhi syabu,” kata Hamadi, 44, yang sedang menjalani rawatan pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Papar di Kimanis.

Hamadi yang dimasukkan ke Puspen Papar pada Disember tahun lalu akhirnya berjaya memeluk agama Islam selepas menjalani rawatan di dalam pusat itu.

Hamadi ketika ditemui di Puspen Papar, Kimanis.

“Apa yang menguatkan lagi perasaan untuk memeluk agama Islam ialah saya melihat akhlak sepupu saya yang begitu baik. Malah saya juga sering mendengar ceramah daripada ustaz menyebabkan terbuka hati untuk mengenali agama Islam.

“Masa di kampung pun saya ada bertanya dengan rakan-rakan untuk masuk agama Islam tetapi saya tidak berani dan belum yakin kerana ketika itu masih dipengaruhi dadah. Di sini betul-betul tiada pengaruh dadah baru saya dapat mengucap dengan tenang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Klien di Puspen menunaikan solat berjemaah di masjid Puspen Papar di Kimanis.

Mengimbas semula bagaimana dimasukkan ke Puspen, Hamadi berkata, ia adalah atas keputusan ahli keluarganya yang mahu dia berubah dan bebas dari najis dadah.

“Pada mulanya saya memamg tidak setuju, namun selepas menjalani rawatan pemulihan di sini dan mendalami agama Islam, akhirnya saya boleh menerima keadaan itu.

“Apabila dimasukkan ke sini, ada banyak aktiviti pengisian agama dilakukan dan sepanjang Ramadan lagi diimarahkan dengan solat Tarawih, bertadarus Al-Quran dan sebagainya,” katanya.

Hamadi dalam pada itu berkata, sejak memeluk agama Islam dia sendiri merasai kelainan dan perbezaan kehidupannya dulu dan sekarang.

“Dulu saya seorang yang jenis cepat marah, tidak menghormati orang. Tetapi di sini saya banyak bersabar, berfikir dulu sebelum bercakap, itu yang saya nampak perubahan dalam diri saya,” katanya.

Ditanya mengenai keseronokan ketika menjalani ibadah puasa, Hamadi berkata, walaupun ini tahun pertama dia berpuasa tetapi semuanya dalam keadaan terkawal.

“Cabaran pada kali pertama ialah saya terasa haus. Lapar tidak juga tetapi lama kelamaan, saya dapat berpuasa sepenuhnya menahan lapar dan dahaga.

“Saya seronok dapat menjalani ibadah puasa kerana ketika itu bukan saja menahan lapar dan dahaga tetapi perlu menjaga percakapan dan adab kira. Saya selalu ingat pesanan ustaz kita bukan saja berpuasa untuk tidak makan tetapi kena jaga mata, kena jaga mulut.

“Apabila tibanya waktu berbuka puasa, saya seronok kerana nikmatnya tidak terkata,” katanya.

Hamadi yang berasal dari Kota Marudu berharap dia dapat mengamalkan semua amalan yang dipelajari di Puspen apabila keluar nanti.

“Saya juga berhasrat mahu melaungkan azan di masjid dan mengajar mengaji kanak-kanak di kampung saya nanti.

“Ketika ini saya masih belajar membaca Al-Quran, daripada tidak tahu apa-apa, saya kini sudah boleh membaca sedikit ayat-ayat Al-Quran,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|