Pulau Banggi berpotensi besar untuk dimajukan

Kudat: Daerah Kecil Pulau Banggi memiliki banyak potensi untuk menjadi sebuah pulau yang lebih maju dalam pelbagai sudut melalui usaha berterusan dan idea yang boleh dikembangkan untuk manfaat penduduknya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, dari segi nama, Pulau Banggi yang terletak di utara Sabah memang sudah dikenali di seluruh dunia sebagai salah satu lokasi pelancongan.

Jahid ketika di Jeti Kargo Timbang Dayang, Pulau Banggi, Kudat.

“Cuma bagaimana kemasyhuran itu dapat diterjemahkan agar mampu memberi impak kepada rakyat di Banggi, saya percaya pihak pentadbir di sini akan sama-sama memikirkannya nanti,” katanya ketika kawatan kerja bersama rombongan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah Kecil Banggi, di sini, semalam.

Dalam lawatan itu, Jahid dan rombongan diberikan taklimat mengenai pembangunan Daerah Kecil Banggi yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Daerah Banggi, Asdi @ Mohd Faizal Hussin.

Jahid dalam pada itu menyeru semua kakitangan Pejabat Daerah Kecil Banggi meneruskan kecemerlangan dan tanggungjawab mereka bagi memastikan semua perancangan dapat dicapai.

Sementara itu, perkara lain yang turut disentuh beliau adalah berkaitan projek terkini yang sedang dan telah dilaksanakan selain mendalami masalah utama, penyelesaian serta cadangan bagi permohonan pembangunan berimpak ekonomi, sosial dan kesihatan di daerah kecil ini.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Setiausaha Tetap KPLBS, Datuk Faimin Kamin; Timbalan Setiausaha Tetap II, Norsafi Dukah; Pegawai Daerah Kudat, Bakri Nanun dan Setiausaha Politik KPLBS, Jilias Lintar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|