Jangan boros, elak pembaziran sambut perayaan – Japlin

Kota Belud: Umat Islam dinasihatkan supaya tidak boros dan mengelak daripada melakukan pembaziran ketika berpuasa dan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kota Belud, Datuk Japlin Akim berkata, amalan berjimat-cermat itu penting dan ia bergantung kepada keupayaan individu menentukan berapa banyak wang perlu dibelanjakan.

Japlin ketika beramah mesra dengan penduduk Kampung Rosok, Kota Belud.

“Ini keputusan (berbelanja) kita bukan keputusan sesiapa kerana duit ini kalau nak ikut belanja tak pernah cukup tetapi kalau tahu berjimat-cermat maka perbelanjaan tidak jadi keterlaluan dan mungkin tidak akan menjadi satu beban yang berat,” katanya pada majlis berbuka puasa di Masjid Kampung Rosok, di sini, semalam.

Japlin dalam pada itu turut mengingatkan masyarakat di daerah ini supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada Ramadan kali ini yang menyaksikan negara memasuki fasa peralihan ke endemik.

Beliau berkata, selari dengan fasa baharu itu, beberapa kelonggaran telah diberikan kerajaan seperti pembukaan semula bazar Ramadan.

“Di sini kita akan melihat pelbagai kaum dan etnik sebagai sebuah Keluarga Malaysia berkunjung mendapatkan pelbagai juadah makanan dan minuman serta barangan keperluan.

“Namun kita jangan lupa dan alpa untuk sentiasa mematuhi kepada SOP yang telah ditetapkan,” katanya

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|