Suspek kes tikam mati di Penampang ditahan di Limbang

Suspek kes tikam mati di Penampang ditahan di Limbang

Penampang: Selepas 10 hari diburu, suspek membabitkan kes tikam di sebuah pusat hiburan di Penampang Baru, di sini, 4 Januari lalu, berjaya ditahan, malam tadi.

Suspek berusia 34 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 malam oleh sepasukan polis di sebuah hotel di Daerah Limbang, Sarawak.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, suspek berjaya ditahan sepasukan polis Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Katanya, operasi turut dibantu pasukan pegawai dan anggota polis dari IPD Limbang.

Suspek yang bersembunyi di sebuah bilik hotel di Limbang, Sarawak ditahan polis, semalam.

“Suspek yang dikenalpasti sebagai Kaw Yung Chee ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes yang sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Daerah Penampang.

“Suspek akan dibawa balik ke IPD Penampang untuk tujuan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian jam 3 pagi, 4 Januari lalu, suspek dipercayai menikam seorang lelaki di belakang bangunan sebuah pusat hiburan, di Penampang Baru, di sini.

Mangsa berusia 29 tahun kemudiannya dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di zon kecemasan Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|