43 mangsa terjejas akibat kebakaran terima bantuan hari ini

43 mangsa terjejas akibat kebakaran terima bantuan hari ini

Penampang: Prihatin dengan nasib yang menimpa 43 mangsa kebakaran di Kampung Suok Batu, Kepayan semalam, pelbagai bantuan disalurkan hari ini kepada semua mangsa yang kini ditempatkan di Dewan Kampung Kibouvang, di sini.

Antara bantuan yang disalurkan termasuk bakul makanan, pakaian dan wang ihsan buat ahli keluarga yang terjejas.

Jafery memberi penerangan terhadap Siti Zailah berhubung keadaan mangsa selain memohon supaya bantuan seterusnya dapat disalurkan kepada mangsa yang terjejas.

Sumbangan itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ketua Bahagian Kapayan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jafery Jomion.

Dalam lawatan Siti Zailah terhadap mangsa terbabit, beliau diberi penerangan oleh Jafery berhubung keadaan mangsa serta bantuan yang disalurkan kepada mereka termasuk disediakan makanan bermasak selama tiga hari selepas kejadian.

Bantuan bakul makanan yang disampaikan kepada mangsa yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Suok Batu, Kapayan, Kota Kinabalu.

Mangsa kejadian seterusnya akan disediakan peralatan memasak supaya dapat meneruskan kehidupan selepas bencana yang melanda mereka.

Jafery dalam pada itu memohon supaya Siti Zailah mempertimbangkan untuk menyediakan penempatan sementara kepada semua mangsa berkenaan.

Jafery ketika hadir ke tempat pemindahan sementara mangsa iaitu di Dewan Kampung Kivouvang, Kapayan, Kota Kinabalu.

“Diharap semua mangsa ini diberikan tempat perlindungan yang lebih sesuai atau seperti rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) berbayar dengan bayaran sewa yang lebih rendah.

“Ini bagi memastikan supaya mangsa dapat meneruskan kehidupan mereka seperti biasa selepas ini,” katanya selepas mengiringi Siti Zailah melawat mangsa yang terjejas akibat kebakaran di Dewan Kampung Kibouvang, Kapayan, hari ini.

Hadir sama dalam lawatan itu, Ketua Penerangan Pas Bahagian Putatan, Zulzaim Hilmee; Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kapayan, Lu Yen Tung, Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah, Muhammad Akmal Othman; Pegawai Penerangan Bahagian STAR, Freddy Ekol dan beberapa ahli jawatankuasa STAR.

Terdahulu, seorang mangsa yang juga penyewa rumah yang terbakar di kawasan itu memaklumkan bahawa kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Penyewa yang enggan dikenali itu memaklumkan bahawa rumah yang disewanya dengan harga RM600 sebulan musnah terbakar dalam kejadian itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi semalam, empat rumah dilaporkan musnah dan menyebabkan penghuni tinggal sehelai sepingang akibat kebakaran itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|