Penipuan tawaran projek jutaan ringgit

Penipuan tawaran projek jutaan ringgit

Kota Kinabalu: Kontrak bernilai jutaan ringgit membabitkan projek penukaran lampu jalan LED seluruh Sabah dan projek pembersihan Taman serta pembinaan bangunan di Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Itu tawaran menarik seorang lelaki yang berjaya memperdayakan enam kontraktor sehingga kerugian mencecah RM710,000.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, semua keenam-enam mangsa berurusan dengan suspek yang sama untuk mendapatkan dua projek berkenaan.

Katanya, siasatan mendapati, suspek menawarkan projek sama iaitu penukaran lampu jalan dan pembersihan serta pembinaan bangunan di SOGIP dengan imbuhan bayaran tertentu.

“Suspek meminta kontraktor untuk membayar sejumlah wang bagi mendapatkan surat penganugerahan tender untuk projek- projek berkenaan.

“Lebih menarik dan menyakinkan lagi, selepas diberikan surat penganugerahan, mangsa akan diberikan cek sebagai pembayaran kos untuk mobilisasi bagi memulakan projek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, mangsa bagaimanapun tidak boleh menunaikan cek berkenaan sehingga diberitahu oleh suspek.

Katanya, sepanjang tempoh menunggu, suspek pula beberapa kali meminta mangsa membuat bayaran secara berperingkat-peringkat.

“Bagaimanapun selepas enam bulan, mangsa akhirnya menyedari tertipu dan suspek juga gagal dihubungi.

“Semua mangsa terbabit membuat laporan polis. Dua laporan diterima September dan November tahun lalu manakala empat lagi diterima tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, suspek berjaya ditahan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kota Kinabalu, pada 31 Disember lalu.

“Kini suspek ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|