Kota Kinabalu: Seorang lelaki cedera di bahagian kaki selepas terjatuh ketika melakukan kerja menyelenggara lif dalam kawasan pembinaan di Jalan Tun Fuad Stephen, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa Nasir Sammah, 55, difahamkan jatuh sehingga ke bawah tanah sebelum dibawa naik oleh pasukan bomba dengan menggunakan sistem takal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.28 tengah hari.
Katanya, seramai 11 anggota bomba dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh empat kilometer dari balai.
“Dilaporkan, kejadian melibatkan seorang lelaki yang dalam proses menyelenggara lif dalam kawasan pembinaan dan terjatuh dari tingkat enam ke tingkat bawah tanah.
“Mangsa yang berada di dalam lif itu cedera di bahagian kaki dan pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba bertindak memberikan rawatan awal sebelum membawa mangsa naik ke atas menggunakan sistem takal,” katanya ketika dihubungi pada hari ini.
Katanya lagi, mangsa yang cedera kemudian diserahkan kepada pihak ambulans untuk rawatan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 1.15 petang.
-Deasoka