Dua inisiatif baharu perkasa keselamatan Sabah

Dua inisiatif baharu perkasa keselamatan Sabah

Tawau: Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengumumkan dua inisiatif baharu yang akan dilaksanakan bagi memperkasa tahap keselamatan dan pertahanan di Sabah.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, inisiatif pertama membabitkan pembinaan kem tentera baharu, manakala yang kedua menghidupkan semula Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) bersama dua negara jiran iaitu Indonesia dan Filipina.

Hishammuddin dalam lawatan kerjanya ke Markas Angkatan Tugas Bersama di Tawau.

Katanya, pembinaan kem baharu Tentera Darat di Felda Sahabat, Lahad Datu akan dimulakan pada tahun ini dengan kos sebanyak RM646.15 juta.

“Ini bukan kerana digembar-gemburkan baru-baru ini di Parlimen, kerana nak dapatkan keputusan-keputusan daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan prosesnya mengambil masa tetapi saya sengaja tak nak menjawab. Sebanyak RM646,156,000 diperuntukkan bagi melaksanakan pembinaan kem ini.

“Perkara kedua yang saya nak umumkan hari ini bahawa kita tak boleh berdepan dengan ancaman secara berseorangan dan sebab itu kita perlu kerjasama rapat dengan negara-negara jiran. Saya nak umumkan di sini pada 27 Januari ini, saya akan ada pertemuan di peringkat Menteri-Menteri Pertahanan dari Indonesia dan Filipina.

“Trilateral yang kita akan hidupkan semula dan perbincangan saya dengan kedua-dua menteri berkenaan serta persetujuan kita untuk berjumpa dan menghidupkan semula Trilateral yang wujud suatu ketika dulu merupakan komitmen ketiga-tiga negara melihat kepada musuh yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatannya ke Markas Angkatan Tugas Bersama (ATB) di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, hasrat menghidupkan semula TCA turut disuarakan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika pertemuannya di Kota Kinabalu semalam.

“Dua inisiatif baharu yang saya umumkan hari ini hanya sebahagian. Banyak lagi perancangan khusus untuk keselamatan Sabah yang akan saya umumkan dari masa ke masa,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan terus memperkasa kawalan dan pemantauan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) walaupun tiada rekod penculikan baharu di kawasan itu sepanjang tahun lalu.

“Pihak ESSCOM maklumkan kepada saya bahawa secara relatifnya, ESSZONE adalah selamat dan terkawal.

“Namun begitu, itu tidak bermakna ESSCOM akan mengendurkan operasinya. Sebaliknya, ESSCOM akan terus diperkukuhkan lagi dan perancangan mengenainya akan dimaklumkan kepada umum dari masa ke masa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|