Penganjur konsert ‘Min Yasmin Live In Sandakan’ bersedia terhadap sebarang perubahan SOP

Penganjur konsert ‘Min Yasmin Live In Sandakan’ bersedia terhadap sebarang perubahan SOP

Sandakan: Pihak pengurusan konsert ‘Min Yasmin Live In Sandakan’ yang akan diadakan pada Mac depan bersedia dengan sebarang perubahan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa berdasarkan situasi semasa pandemik Covid-19.

Komposer, Julfekar yang juga suami kepada penyanyi Min Yasmin berkata, pihaknya sentiasa menunggu jika ada perubahan SOP dan perkara itu sudahpun dibincangkan sebelum penetapan tarikh konsert diadakan.

Min mempersembahkan lagu ketika majlis pelancaran konsert Min Yasmin Live In Sandakan dan album Min Yasmin ‘World On A String’ di Sabah Hotel, Sandakan.

“Dari segi SOP, kita memang tunggu dan kita sudah berbincang mungkin akan berubah jadi buruk atau baik.

“Kita memang sudah bersedia mengenainya,” katanya ketika ditanya pada sidang media majlis pelancaran konsert berkenaan dan album terbaharu Min Yasmin ‘World On A String’ di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung persediaan pihak penganjur mengenai kemungkinan berlaku perubahan SOP jika kes Covid-19 di Sabah meningkat semula.

Mengulas lanjut berhubung konsert itu, Julfekar berkata pihaknya juga terfikir untuk mengadakan jelajah seluruh Sabah berikutan penerimaan peminat terhadap lagu-lagu yang dibawa Min Yasmin di negeri ini.

“Buat masa ini, kita tumpu konsert sekitar Sabah memandangkan penduduk Bajau Suluk di Sabah ada 1.2 juta orang yang dahagakan acara hiburan selepas sekian lama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diadakan.

“Jadi saya rasa tumpuan kita kali ini untuk sekitar Sabah dan memang kita sudah terfikir untuk keliling Sabah dan sebenarnya ada juga permintaan termasuk dari Tawau, InsyaAllah,” katanya.

Sementara itu, Min Yasmin atau nama sebenarnya Nurul Yasmin Abdul Aziz menganggap konsert yang akan diadakan pada 11 dan 13 Mac di dua lokasi berbeza di daerah ini sebagai hadiah daripada peminatnya.

“Ini adalah sebuah hadiah daripada peminat untuk artis mereka dengan menganjurkan sebuah konsert untuk saya hiburkan orang di sini.

“Bagaimanapun, kalau di Filipina kami bincang dengan lagu yang dibawa berbahasa Bajau Suluk dan Tagalog, tetapi di sini ada Bahasa Melayu memang bahasa kita,” katanya.

Sementara itu, Sam salah seorang penganjur daripada SS Event Management berkata, perubahan SOP adalah satu kebimbangan dan cabaran mereka untuk menjadikan konsert itu satu realiti.

“Sudah semestinya kebimbangan kami sejak tahun 2020 lagi berikutan perubahan tarikh dan ini kali ketiga untuk menetapkan tarikh konsert.

“Mudah-mudahan semuanya dipermudahkan, itu yang kita harapkan,” katanya.

Difahamkan, penganjuran konsert terbabit menelan kos kira-kira RM50,000 dan sasaran adalah seramai 800 penonton mengikut SOP yang terkini atau mungkin ada penambahan boleh mencecah sehingga 1,000 penonton.

SS Event Management adalah penganjur konsert Min Yasmin yang akan diadakan di Sabah Hotel pada 11 Mac dan konsert terbuka di Tiong Hua Hall, Sandakan pada 13 Mac.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|