Stok ganja untuk 1,146,200 ‘kaki lalok’ berjaya dirampas

Stok ganja untuk 1,146,200 ‘kaki lalok’ berjaya dirampas

Georgetown: Helah dua lelaki cuba menyembunyikan lebih 19 guni ganja, gagal apabila dicekup polis dalam dua serbuan berasingan sekitar Tanjung Bungah, di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi selama dua hari bermula jam 10 malam pada 21 Oktober lalu membabitkan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman serta Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Pulau Pinang.

Soffian menunjukkan dadah jenis ganja bernilai RM1.43 juta yang berjaya dirampas.

“Dalam operasi ini, polis berjaya memberkas dua lelaki tempatan berusia 54 dan 58 tahun dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah jenis ganja.

“Serbuan pertama di sebuah pondok terletak di pesisiran pantai Tanjung Bungah dimana suspek lelaki pertama berusia 54 tahun berjaya dicekup,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.

Soffian berkata, pemeriksaan menemui dan merampas lapan guni mengandungi 243 bungkusan balutan lutsinar ketulan mampat disyaki ganja dianggarkan seberat lebih 245 kilogram (kg) bernilai RM612,000.

“Serbuan kedua menyusul membabitkan seorang suspek lelaki berusia 58 tahun yang bertindak cuba melarikan diri dengan menaiki bot, namun berjaya ditahan.

“Pemeriksaan menemui 11 guni mengandungi 321 ‘slab’ dibalut plastik lutsinar berisi mampatan daun kering hijau disyaki ganja seberat lebih 327 kg bernilai RM818,000,” katanya.

Menurut Soffian, hasil risikan mendapati, sindiket ini mula bergiat aktif sejak Julai lalu untuk pasaran tempatan.
“Jumlah rampasan dadah ini boleh digunakan oleh 1,146,200 penagih.

“Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah, namun siasatan lanjut mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan reman tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi tujuan siasatan.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1.43 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup selain boleh dikenakan tidak kurang 15 sebatan,” katanya.
Dalam pada itu, Soffian menegaskan pihak polis sentiasa komited memerangi kegiatan pengedaran dadah dan dibanteras habis-habisan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|