PRU15: BN Sabah akan namakan calon TPM

PRU15: BN Sabah akan namakan calon TPM

Kota Kinabalu: Barisan Nasional (BN) Sabah akan mencadangkan nama calon Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari negeri ini yang dikenal pasti layak menggalas jawatan berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ia sejajar komitmen BN merealisasikan perkara itu selepas ia dijadikan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, ia susulan cadang Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai jawatan TPM dari Sabah dalam manifesto PRU15 yang disuarakannya pada program Gelombang Biru BN di Kimanis, akhir minggu lalu.

Bung Moktar berkata, jawatan TPM dari Sabah dalam Manifesto BN Sabah itu bukan hanya gelaran atau sekadar nama jawatan bagi memikat hati rakyat Sabah.

“BN Sabah sedia mencadangkan calon TPM yang berwibawa, fokus kepada tugas sebagai TPM bagi membawa suara rakyat Sabah terutamanya dalam aspek pembangunan insfrastruktur, pendidikan, kesihatan, kebajikan dan lain-lain lagi.

“TPM dari Sabah bukan sahaja gelaran semata-mata tetapi diberikan kuasa menentukan apa juga program berkaitan pembangunan di Sabah kerana perkara ini yang amat kita perlukan di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sabah yang mendakwa lebih awal memasukkan jawatan kedua TPM untuk Sabah dan Sarawak dalam manifesto mereka.

Mereka berkata perkara itu sepatutnya diumumkan pada pelancaran manifesto PH, namun terpaksa disebut lebih awal apabila Ahmad Zahid mengumumkan tiga jawatan TPM, masing-masing mewakili Semenanjung, Sabah dan Sarawak jika BN menang dominan pada PRU15.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata cadangan PH mengenai jawatan TPM bukan perkara baharu namun tidakpun dilaksanakan meskipun berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

“Kita mengakui memang parti pembangkang Sabah, PH dan lain-lain ada membuat cadangan awal mengenai jawatan TPM dari Sabah dan Sarawak tapi gagal dilaksanakan.

“Ini kerana mereka tidak konsisten selain tiada kesepakatan dalam kepemimpinan PH sendiri. Itu menyebabkan cadangan mereka gagal dilaksanakan.

“Lagipun bagi PH, manifesto atau janji mereka bukan kitab suci, berbeza dengan BN, apa yang kita kata mesti dikota,” katanya.

Ketika program Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Zon 3 Sabah di Kimanis pada Ahad lalu, Ahmad Zahid meminta Bung Moktar supaya memasukkan jawatan TPM dari Sabah dalam manifesto khusus untuk Sabah bagi PRU15.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|