Kontraktor perdaya pemilik syarikat RM100,000

Kontraktor perdaya pemilik syarikat RM100,000

Kota Kinabalu: Seorang kontraktor awam mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini atas pertuduhan menipu dan memperdayakan seorang pemilik syarikat untuk menyerahkan sejumlah wang kepadanya pada 2013.

Wang itu diberikan selepas terpedaya dengan dakwaan tertuduh kononnya dia memperoleh projek membekal bahan mentah kering dan basah untuk sebuah operasi di Sabah.

Tertuduh, Fariz Fadila Ag Kamarudin, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, antara Januari hingga April 2013, tertuduh meminta wang sebanyak RM100,000 dengan menawarkan kerjasama bagi menjalankan projek berkenaan.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Kes pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Izzati Sapifee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim kemudiannya mengenakan wang jaminan sebanyak RM20,000 dengan deposit RM8,000 dan seorang penjamin.

Selain itu, hakim turut mengarahkan tertuduh supaya melapor diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|