IPG Kent berpotensi dijadikan produk pelancongan pendidikan

IPG Kent berpotensi dijadikan produk pelancongan pendidikan

Tuaran: Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, di sini, yang kini mencecah usia 70 tahun berpotensi dijadikan sebagai sebuah bangunan warisan yang menyimpan sejarah pembangunan kampus perguruan pertama di negeri ini.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai, berkata nilai sejarah itu perlu dipelihara dan dikembangkan sebagai produk tarikan pelancongan.

Joniston melihat pameran mengenai sejarah IPG Kent di Tuaran.

“Melihat kepada sejarah pembangunan kampus ini, saya berpandangan IPG Kent mempunyai potensi untuk dikembangkan menjadi sebuah produk pelancongan berasaskan pendidikan.

“Saya dimaklumkan bahawa pihak IPG Kent berhasrat menjadikan Pusat Warisan Pendidikan Kent sebagai warisan negeri.

“Atas kapasiti saya sebagai Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, saya akan melakukan yang terbaik untuk membawa perkara ini ke perhatian kerajaan negeri,” katanya pada lawatan kampus itu sempena Majlis Sambutan Jubli Platinum Ke-70 IPG Kent.

Dalam lawatan itu, beliau turut melawat galeri kampus yang mempamerkan artifak lama berkaitan pendidikan termasuk skrol, sijil, keratan akhbar, anugerah trofi dan gambar nostalgia.

Joniston berkata, ia adalah satu usaha yang baik ke arah mengukuhkan kedudukan Tuaran sebagai hab pendidikan perguruan yang berkualiti, di samping status sedia ada sebagai destinasi tumpuan pelancong.

Dalam pada itu, beliau menyarankan pihak kampus menyediakan kertas kerja mengenai hasrat untuk mewartakan Pusat Warisan Pendidikan Kent di kampus IPG Kent Lama sebagai warisan negeri.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pengarah IPG Kent, Datin Dr Rosnah Edinin; Ketua Jabatan Kecemerlangan Akademik, Harun Sarail; Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Amidy Malagob; Ketua Jabatan Pengajian Sains Sosial, Dr Jais Abdul Hamid; dan Presiden Persatuan Alumni Kent, Adnan Ibrahim.

Sementara itu, menurut Dr Rosnah, IPG Kent yang merupakan institut pendidikan guru keempat di Malaysia telah berjaya melahirkan lebih kurang 18,500 guru yang berkhidmat di seluruh negara.

“Komitmen kerajaan negeri untuk menyokong dan memperkasakan lagi tapak kampus lama sebagai Warisan Khazanah Pendidikan Negara akan menjadikannya salah satu mercu tanda daerah Tuaran.

“Sudah tentu ini dapat menjana ekonomi setempat serta menjadi salah satu pilihan destinasi pelancongan nanti,” katanya.

Ditubuhkan pada 1952, IPG Kent dirasmikan oleh Duchess of Kent, Puteri Marina dan masih lagi memelihara serta menyimpan objek antik seperti kamera yang pertama digunakan oleh kampus, perakam video, projektor, dan pemampat kertas antara lainnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|