Lahad Datu: Menurut Dr Muhamad Na’im Bin Ab Razak, Pegawai Perubatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Lahad Datu yang juga merupakan Exco Malaysian Society on Toxinology (MST), sehingga kini terdapat enam kes kematian kanak-kanak disebabkan sengatan obor-obor telah direkodkan di daerah Kota Kinabalu, Kota Belud, Semporna dan Lahad Datu.
Walaubagaimanapun, beliau percaya bahawa angka kematian sebenar jauh lebih tinggi dan tidak dilaporkan.
Kesemua mangsa dipercayai mengalami envenomasi sistemik disebabkan sengatan obor-obor kotak (box jellyfish) yang mengakibatkan kegagalan pada fungsi paru-paru dan jantung.
Selain itu, antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada kematian mangsa termasuklah kurangnya kesedaran dalam kalangan orang awam tentang bahaya sengatan obor-obor, tiada penguatkuasaan dari pihak berwajib dalam mengisytiharkan sesuatu kawasan perairan sebagai merbahaya disebabkan kewujudan obor-obor berbisa, tidak mengamalkan aktiviti pencegahan risiko sengatan obor-obor seperti menggunakan pakaian renang yang sesuai atau pemasangan pukat di sekeliling tempat mandi-manda di pantai, kaedah rawatan pertolongan cemas yang tidak tepat dan lambat mendapatkan rawatan di hospital.
“Obor-obor merupakan hidupan marin zooplankton yang dikelaskan di dalam filum cnidaria. Filum ini mempunyai 11000 spesies dari kelas anthazoa (terumbu karang, anemone dan sea pen), cubozoa (obor-obor kotak), Scyphozoa (obor-obor) dan hidrozoa. Di seluruh dunia, terdapat kira-kira 100 spesies berbisa yang boleh mendatangkan mudarat kepada manusia.
“Di Sabah, kita telah mengenal pasti beberapa spesies obor-obor berbisa yang boleh mengakibatkan gejala envenomasi serius dan berpotensi untuk mengancam nyawa. Antaranya adalah Chironex yamaguchii (obor-obor kotak/belun), Physalia physalis (portugase man o war), carybdeid box jellyfish (Belun klinik), Chrysaora chinensis (belun api), Sanderia malayensis, Lobonemoides robustus, Acromitus flagellatus, Cotostylus townsendii dan Linuche aquila,” katanya.
Beliau berkata, bisa obor-obor tersimpan di dalam sel penyengat yang dipanggil cnidocyte dan terletak di sepanjang tentakelnya.
Apabila terdapat sentuhan di antara kulit manusia dan tentakel obor-obor, ia akan merangsang pelepasan nematocyst oleh sel cnidocyte secara besar-besaran.
Nematocyst ini pula mengandungi struktur berbentuk tempuling yang akan menusuk kulit manusia dan seterusnya menyuntik bisa ke dalam tubuh manusia bagi menyebabkan gejala envenomasi.
“Gejala envenomasi yang disebabkan oleh obor-obor adalah pelbagai dan bergantung kepada jenis spesies serta taburan geografi.
“Ini termasuklah ruam dan rasa gatal pada kulit yang seakan-akan alergi, keradangan, rasa sakit pada tempat yang disengat, kemusnahan tisu setempat, gangguan pada sistem saraf, pernafasan dan kardiovaskular, dan ribut katekolamin (keresahan, tekanan darah tinggi, aritmia jantung, gangguan tahap kesedaran, loya-loya dan muntah dan sebagainya).
“Orang awam mungkin mengalami kesulitan untuk mengenal-pasti secara tepat spesies obor-obor yang menyengat mereka.
“Disebabkan sengatan obor-obor kotak boleh menyebabkan gejala envenomasi serius dan berpotensi membunuh manusia, rawatan pertolongan cemas harus dimulakan dalam kadar yang segera dan disasarkan untuk menghalang kemasukan bisa spesies obor-obor itu ke dalam tubuh mangsa,” katanya.
Katanya, Malaysian Society on Toxinology (MST) telah menyarankan tiga langkah utama yang harus dilakukan apabila seseorang disengat obor-obor.
1) Bawa bertenang.
2) Siram kawasan tubuh yang disengat dengan menggunakan cuka makan dan biarkan ia selama sekurang-kurangnya 30 saat sebelum anda membuang tentakel yang melekat pada kulit dengan menggunakan kain atau forsep.
3) Sila bawa mangsa ke hospital dalam kadar segera sekalipun mangsa tidak menunjukkan gelaja envenomasi yang serius.
Selain itu, sekiranya mangsa menunjukkan gejala envenomasi yang serius, hubungi 999 dalam kadar yang segera.
Lakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) jika mangsa tidak sedarkan diri dan tidak bernafas atau tiada tanda kehidupan.
Dr Muhamad Na’im turut berharap agar semua pihak sama ada badan kerajaan, bukan kerajaan, media dan individu terus bekerjasama untuk menjalankan kempen-kempen kesedaran tentang bahaya sengatan obor-obor, aktiviti pengawasan serta penguatkuasaan larangan mandi-manda di kawasan yang didiami obor-obor berbahaya serta kajian berterusan untuk mencari solusi dalam menyelesaikan masalah berkaitan obor-obor terhadap manusia.
-Deasoka