Semporna: Enam rumah jenis tidak kekal di Kampung Bubul, di sini, terbakar, tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, insiden dipercayai mengakibatkan sekurang-kurangnya enam keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah sepenuhnya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.57 tengah malam.
Katanya, sepasukan 12 anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran didapati membabitkan enam rumah berkeluasan keseluruhan 1,393 meter persegi.
“Pasukan operasi terus menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 91 meter dengan tiga pancutan dari sumber air dari jentera dan perigi,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, api kemudiannya berjaya dikawal daripada terus merebak ke rumah-rumah berhampiran pada jam 1.34 pagi
Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.18 pagi.
“Setakat ini, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam insiden ini,” katanya.
-Deasoka