Mahu tunjuk hebat guna bakakuk akhirnya dicekup

Tawau: Akibat marah kerana ditegur oleh mangsa, seorang lelaki warga asing bertindak mendatangi mangsa dengan membawa bakakuk dalam kejadian di Sungai Imam, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 35 tahun itu membawa padah apabila dia ditahan polis di sebuah rumah di kawasan kampung berkenaan, jam 10 malam.

Suspek ditahan polis di sebuah rumah di Sungai Imam, Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebaik menerima laporan, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Balai Polis Bombalai membuat serbuan di sebuah rumah di Sungai Imam bagi mengesan suspek.

Katanya, suspek yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri, namun gagal apabila dia ditahan selepas berlaku pergelutan.

“Hasil pemeriksaan menemui senjata api buatan sendiri serta beberapa peralatan di dalam rumah berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek warga asing yang masuk dan tinggal di Malaysia tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jasmin berkata, suspek dan barang rampasan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/62

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|