Insiden rosakkan kenderaan tular, dua lelaki diburu polis

Kota Belud: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud sedang giat memburu dua lelaki yang terbabit dalam rakaman pergaduhan yang tular sejak kelmarin.

Kejadian difahamkan berlaku pada jam 4.40 petang di kawasan tepi jalan berhampiran Restoran Gula Apong, di sini, sehingga membabitkan perlakuan merosakkan kenderaan.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya mengesan video tular berkenaan sejak semalam.

Katanya, rakaman berdurasi 19 saat itu memaparkan pergaduhan antara dua lelaki yang merosakkan sebuah kenderaan.

“Pihak IPD Kota Belud mengambil tindakan mengesan semua suspek yang terlibat bagi memberi keterangan dan membantu siasatan lanjut.

“Setakat ini, punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sehubungan itu, Shahrudin menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini.

Katanya, ia bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan kegusaran awam serta dibimbangi akan mengganggu siasatan polis.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|