Pulau Daat dilelong RM121 juta

Kota Kinabalu: Pulau Daat yang terletak di antara Menumbok dengan Labuan akan dilelong dalam lelongan terbuka oleh Pelelong Bumiputera di Bornion Centre, Jalan Kolam, Luyang, di sini, pada jam 11 pagi, Jumaat ini.

Ia berdasarkan iklan mengenai lelongan berkenaan yang tersebar di media sosial sejak beberapa hari lalu menyatakan pulau seluas 237.55 hektar itu akan dilelong dengan harga rizab RM121.5 juta.

Difahamkan, lelongan itu berikutan pembubaran syarikat pemilik pulau berkenaan, Potensi Bernas Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat pembangunan dan pengurusan hartanah yang berdaftar di Sabah.

Laporan media sebelum ini turut menyebut lelongan berkenaan sepatutnya dibuat pada tahun lalu lagi, namun tidak dapat dilaksanakan berikutan kekangan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Pulau Daat adalah sebahagian daripada Wilayah Persekutuan Labuan dengan tempoh pajakan tanah selama 999 tahun iaitu tamat pada 31 Disember 2853.

Catatan awal menunjukkan pemilik pertama pulau itu ialah warga British, John Gavaron Treacher dan Clarence Cooper berdasarkan geran yang dikeluarkan pada 1856 oleh Gabenor Labuan, George Warren Edwardes bagi pihak Ratu Victoria pada masa itu.

Pemiliknya kemudian bertukar tangan kepada pihak lain termasuk yang terakhir, Potensi Bernas Sdn Bhd.

Sebelum ini Pulau Daat dicadang antara pilihan laluan jambatan menghubungkan Labuan dengan Menumbok berdasarkan kajian pembinaan jambatan untuk menghubungkan pulau bebas cukai itu.

Cadangan itu yang menjadikan Pulau Daat sebagai ‘persinggahan’ jambatan sepanjang 9.15 kilomter mengambil kira usaha untuk membangunkan pulau berkenaan yang selama ini terbiar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|