Bung Moktar Sangkal parti nasional halang pembangunan Sabah

Bung Moktar Sangkal parti nasional halang pembangunan Sabah

Kota Kinabalu: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyangkal pandangan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang mengatakan kehadiran parti nasional di Sabah menghalang pembangunan negeri ini.

Bung Moktar berkata, pandangan pemimpin negeri jiran itu tidak tepat, selain menganggapnya sebagai pandangan peribadi Abdul Karim semata-mata.

“Tidak timbul persoalan parti nasional dan parti tempatan akan menjadi penghalang pembangunan negeri di Malaysia Timur – Sabah, Sarawak.

“Pandangan Naib Presiden PBB, Datuk Abdul Karim itu adalah pandangan peribadi beliau dan tidak sama sekali mempengaruhi usaha negeri Sabah untuk terus menuntut hak bagi membangun Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Ketua UMNO Sabah itu berkata, sebaliknya Sabah memiliki kelebihan untuk berhubung secara langsung dengan pemimpin dari Semenanjung dalam soal pembangunan negeri ini.

“Seperkara lagi ‘advantage’ kami di Sabah selain daripada berbincang dan membawa isu ke mahkamah, kami boleh berhubung secara langsung dengan pemimpin dari Semananjung bagi memastikan kelangsungan pembangunan negeri dan pembelaan rakyat khasnya Sabah.

“Parti nasional atau parti tempatan halatujunya adalah sama, perjuangan untuk membela rakyat, yang membezakannya adalah cara untuk mendapatkan bantuan. Cara yang segera dan mudah semestinya adalah selari dengan parti nasional yang memerintah,” katanya.

Bung Moktar memberi contoh, ketika Sabah sealiran dengan pentadbiran Pusat sebelum 2018, pembangunannya amat pesat, dengan cara berbisik-bisik sahaja, tanpa membawa isu atau perkara ke mahkamah.

Sehubungan itu, beliau berpendapat kenyataan Abdul Karim itu adalah kurang tepat dan bersifat peribadi semata-mata.

“Saya yakin Sabah akan membangun dengan pesat di bawah parti nasional,” katanya.

Sebelum ini Abdul Karim dilaporkan sebagai berkata penguasaan parti bukan tempatan menghalang usaha negeri di Malaysia Timur bekerjasama dalam menuntut hak mereka di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, ia berikutan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dikuasai parti bukan tempatan dengan ‘bos besar’ masing-masing, khususnya UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang membentuk gabungan itu bukan dari Sabah.

Jelasnya, ia menyebabkan sebarang keputusan penting atau perkara dasar berkaitan MA63 diperlukan, menteri UMNO atau BERSATU akan merujuk ‘bos besar’ masing-masing terlebih dahulu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|