Polis buka kertas siasatan video tular pelajar gaduh

Sandakan: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, sudah membuka kertas siasatan berhubung insiden pergaduhan beramai-ramai membabitkan pelajar sekolah yang tular di media sosial, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, siasatan awal polis mendapati pergaduhan berlaku di Jalan Elopura, Bandar Sandakan.

Katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca pergaduhan serta mereka yang terlibat.

“Pihak polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh tampil ke Balai Polis terdekat untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Abdul Fuad berkata, orang ramai juga boleh menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Micheal Goh di talian 016-8741216 atau 089203223.

Dalam kejadian yang tular sejak jam 2 petang tadi memaparkan sekumpulan pelajar sekolah menengah bergaduh sesama sendiri.

Bagaimanapun sehingga kini, belum dipastikan sama ada membabitkan sebarang kecederaan atau tangkapan berjaya dilakukan polis.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|