Sembilan penagih ditahan

Sembilan penagih ditahan

Papar: Sembilan individu termasuk seorang wanita ditahan dalam operasi selama seminggu yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.

Dalam operasi yang berakhir 28 Julai lalu, semua suspek berusia 20 tahun hingga 60-an itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka, operasi dijalankan di sekitar lokasi yang dikenalpasti di Daerah Papar.

Katanya, semua suspek yang ditahan turut mengaku terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Sepanjang operasi selama seminggu ini, polis turut berjaya merampas 24.25 gram dadah jenis syabu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama atas kesalahan positif dadah jenis Amphetamine dan Methapetamine,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Kamaruddin berkata, kejayaan tangkapan ini adalah usaha PDRM dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah.

Disamping itu katanya, ia juga adalah salah satu tindakan dalam mencegah aktiviti jenayah daripada berlaku di daerah Papar.

“Saya menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah dadah di daerah ini supaya memaklumkan kepada polis untuk tindakan segera.

“Maklumat boleh disalurkan ke IPD Papar menerusi talian 088-912 222,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|