Tawaran rebat 25 peratus pinjaman pengajian YS hingga akhir September

Tawaran rebat 25 peratus pinjaman pengajian YS hingga akhir September

Kota Kinabalu: Yayasan Sabah melanjutkan program rebat khas 25 peratus bayaran balik pinjaman pengajian kepada peminjamnya sehingga 30 September depan.

Pengarahnya, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, berkata program itu yang sebelum ini sudah berakhir pada 30 Jun lalu dilanjutkan susulan sambutan yang amat menggalakkan daripada peminjam.

“Sebelum ini, rebat 25 peratus hanya diberikan kepada peminjam pengajian yang ingin memendekkan tempoh bayaran sekurang-kurangnya sebanyak 75 peratus daripada tempoh pembayaran balik yang ditetapkan.

“Kini melalui program rebat khas 25 peratus ini, peminjam tanpa mengira tempoh pembayaran yang dipendekkan, layak mendapat rebat sebanyak 25 peratus berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau turut berharap melalui program itu, Kumpulan Yayasan Sabah dapat mengutip lebih banyak bayaran balik pinjaman pengajian Kumpulan Yayasan Sabah agar dapat mengumpul lebih banyak dana bagi meneruskan program tajaan pendidikan untuk pelajar pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Gulam berkata peminjam yang berminat mendapatkan rebat berkenaan mesti menandatangani surat akuan penerimaan rebat yang disediakan.

Katanya, Kumpulan Yayasan Sabah turut mempelbagaikan kemudahan pembayaran balik bagi memudahkan peminjam membuat bayaran.

Sepanjang program itu, katanya peminjam juga dapat melakukan pembayaran secara dalam talian.

“Peminjam mempunyai pelbagai pilihan pembayaran digital, seperti aplikasi Maybank2u untuk pelanggan Maybank di samping pemindahan wang menggunakan telegraf dan JomPAY untuk pelanggan bank lain.

“Sebagai alternatif, kami juga menerima pembayaran yang dibuat melalui Arahan Tetap Bank, draf bank dan cek.

“Peminjam juga boleh mengunjungi kaunter pembayaran kami yang terletak di Aras 6, Menara Tun Mustapha, Teluk Likas atau Pejabat-pejabat Zon kami di Beaufort, Kota Marudu, Keningau, Sandakan dan Tawau,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai Program Rebat Khas 25 peratus itu boleh diperolehi melalui laman web Kumpulan Yayasan Sabah di http://www.yayasansabahgroup.org.my, Facebook KYS-Kumpulan Yayasan Sabah, menghubungi 088-326300 (samb– 1716, 1242 & 1246) atau emel kepada bayaranbalikpengajian@ysnet.org.my.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|