66 peserta tonjol bakat lakonan melalui Sabah Screen Talent 2022

66 peserta tonjol bakat lakonan melalui Sabah Screen Talent 2022

Kota Kinabalu: Seramai 66 peserta mengambil bahagian dalam program pencarian bakat lakonan menerusi penganjuran Bakat Skrin Sabah (Sabah Screen Talent) 2022.

Pengarah program berkenaan, Ramli Carlo berkata, pencarian bakat itu berlangsung kira-kira dua bulan bermula 26 Mac hingga 25 Mei lalu dan dilancarkan melalui laman Facebook Puruvan TV.

Beliau berkata, peserta perlu menunjukkan bakat lakonan dengan memilih skrip disediakan penganjur sebelum membuat rakaman sendiri dan memuat naik ke Facebook untuk dinilai penonton.

Katanya, video lakonan peserta dimuat naik mulai 3 Jun lalu untuk perkongsian dengan netizen dan menilai peserta yang mendapat tontonan tertinggi.

“Antara lain tujuan penganjuran program ini adalah untuk memberi ruang kepada bakat-bakat dari Sabah sama ada lama atau baharu untuk menunjukkan bakat lakonan dengan memilih skrip atau mengubah suai skrip yang disediakan penganjur, membuat rakaman sendiri dan menghantarnya.

“Selaku penganjur kami berharap Sabah Screen Talent (SST) ini menjadi ruang kepada pelakon-pelakon muda khususnya untuk menonjolkan bakat mereka dan alhamdulillah jumlah penyertaan yang kita perolehi amat memberangsangkan dari seluruh pelusuk negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kemuncak acara itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 3 September depan dan dijangka disempurnakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arifin.

Majlis itu turut dijadual dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Prof Dr Md Nasir Ibrahim.

“Acara kemuncak SST turut dimeriahkan dengan persembahan beberapa artis tempatan antaranya Lyron Felix, Diandra Justin, Maldini Sidney, Vivianne Andrew, Zackiddin Zachry dan Heidi Moru.

“Proses penjurian sudah hampir dimuktamadkan melalui juri luar yang dilantik untuk menentukan siapakah daripada seramai 66 peserta yang bakal bergelar juara dengan tawaran hadiah keseluruhan hampir RM30,000,” katanya

Sementara itu, Ramli berkata, menerusi program itu juga, Anugerah Khas Pencapaian akan diberikan kepada lima individu yang telah menyerlahkan sumbangan mereka kepada perkembangan industri kreatif di negeri ini.

Katanya, penasihat program itu, Datuk Dr Jelani Hamdan mahu menjadikan program berkenaan sebagai program tahunan dengan skala penganjuran yang lebih besar termasuk mempelbagaikan kategori dan aktiviti.

Ramli dibantu Enn Xaviera selaku Pengarah Komunikasi dan Ronn Langad selaku Pengarah Kreatif dengan mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada Jelani selaku penasihat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|