Remaja lemas di Keningau ditemukan di Beaufort

Beaufort: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di Keningau sejak Sabtu lalu ditamatkan selepas penemuan mayat di Sungai Padas Kampung Labi Gadong, Beaufort semalam.

Mangsa dikenali sebagai Al-Sharil, 16, ditemui dalam keadaan terapung oleg orang awam sebelum perkara itu dilaporkan kepada pasukan bomba.

Mayat mangsa dibawa naik ke darat untuk dihantar ke Hospital Beaufort.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5 petang berhubung kejadian itu.

Katanya, seramai empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 15 kilometer dari balai.

“Bantuan mengambil mayat di sungai di Kampung Labi Gadong segera dilakukan selepas menerima panggilan daripada orang awam.

“Sebaik tiba di lokasi, terdapat satu mayat terapung di sungai berkenaan dan anggota bomba bertindak mengambil mayat untuk diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, mayat mangsa seterusnya dibawa ke unit forensik Hospital Beaufort untuk tujuan pengecaman.

“Operasi kemudian ditamatkan pada jam 8.55 malam,” katanya.

Terdahulu, mangsa dilaporkan lemas ketika sedang mandi bersama keluarganya di sungai di Kampung Baru Durok, Keningau.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|