Kasi ‘banjir’ Stadium Likas, sokong Sabah FC

Kota Kinabalu: Penyokong dan peminat sukan bola sepak di negeri ini dipelawa supaya datang ‘membanjiri’ Stadium Likas bagi memberi sokongan padu kepada Sabah FC setiap kali ada perlawanan di laman sendiri.

Ketua Penyelaras Venue Sabah FC, Shamsuddin Mohd Shah berkata, ia selaras dengan pengumuman pembukaan sektor sukan dan rekreasi di bawah fasa peralihan ke endemik Covid-19 yang berkuatkuasa 1 Mei lalu.

Katanya, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) juga memutuskan tiada sebarang had kapasiti penonton dikenakan untuk hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Likas bermula dengan aksi Piala FA menentang Kelantan FC, Jumaat ini.

Shamsuddin Mohd Shah

Bagaimanapun, katanya pihak pengurusan stadium masih melaksanakan pemeriksaan status Covid-19 dalam aplikasi MySejahtera yang hadir ke stadium selain menggalakkan pemakaian pelitup muka.

“Walaupun penetapan pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka sudah dikecualikan namun ia masih digalakkan termasuk amalan penjarakan sosial.

“Begitu juga dengan imbasan kod MySejahtera yang tidak diwajibkan lagi namun pihak pengurusan akan melakukan pemeriksaan status bagi memastikan individu berisiko tidak dibenarkan memasuki stadium,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Shamsuddin berkata, perlawanan dijadualkan akan bermula pada jam 7.30 malam dan penyokong dibenarkan masuk ke stadium bermula jam 6 petang.

Katanya, sebanyak 1,000 tiket juga akan dijual secara fizikal mengikut harga sama iaitu 400 tiket untuk tempat duduk grandstand yang dijual pada harga RM39.14 bermula jam 10 pagi, Jumaat ini.

“Manakala bagi zon Old Fortres, sebanyak 300 tiket dijual pada harga RM28.84 dan bagi zon ‘PT’ dan ‘Score Board’ pula keseluruhan sebanyak 300 tiket dijual pada harga RM18.60.

“Sebarang pertanyaan boleh menghubungi pegawai Sabah FC, Stella di talian 016-8503834,” katanya.

Sementara itu, Shamsuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) berkata, pihak MFL juga membenarkan penonton hadir tanpa mengira had umur dan status vaksinasi.

Namun katanya, pihak SAFA akan tetap memandang serius terhadap pematuhan SOP berkaitan pencegahan Covid-19 ditetapkan.

“Kita sekali lagi ingin mengingatkan penonton yang hadir supaya digalakkan memakai pelitup muka sepanjang perlawanan dan aktiviti makan minum ketika berada di stadium dibenarkan.

“Kita berharap semua penyokong Sabah FC kekal berdisiplin serta mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Penonton juga tidak dibenarkan membawa botol minuman, payung dan helmet masuk ke dalam stadium,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|