55 pemain bawa cabaran Sabah ke Kejohanan Badminton 100 Plus Junior Elit Tour di Perlis

Kota Kinabalu: Seramai 55 pemain bakal membawa cabaran Sabah pada Kejohanan Badminton 100 Plus Junior Elit Tour (Pusingan Pertama) di Perlis yang dijadualkan bermula esok hingga 15 Mei ini.

Semua pemain membabitkan beberapa kategori iaitu perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita berusia 12, 14 serta 16 tahun.

Seramai 55 pemain wakil Sabah ke Kejohanan Badminton 100 Plus Junior Elit Tour di Perlis.

Presiden Persatuan Badminton Sabah (SBA), Janih Bangud berkata, pihaknya berharap pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi sepanjang kejohanan berkenaan.

Katanya, seluruh pengurusan SBA juga berharap, pemain yang dihantar akan dapat beroleh kejayaan terbaik untuk masa depan masing-masing.

“Kita berharap semua pemain dapat mempamerkan prestasi cemerlang seperti yang ditunjukkan dalam kejohanan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Janih berkata, beliau juga berharap, semua pemain dan pengurus pasukan Sabah, Alfonso Fiel, supaya dapat menjaga kesihatan dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, ia bagi mengelakkan daripada berlakunya perkara tidak diingini dan seterusnya menjejaskan prestasi pasukan.

“Selamat maju jaya kepada semua ahli pasukan dan mendoakan agar kita dapat membawa kejayaan,” katanya.

Sementara itu, Janih yang sebelum ini dilantik sebagai Pengurus Pasukan Badminton Malaysia pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam turut berterima kasih kepada syarikat Flypower dan WKW Eramaju Sdn Bhd yang memberi sokongan dengan menaja kelengkapan pemain.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|