Pembentukan jawatankuasa kerjasama solidariti GRS-BN belum dibincang dengan BN

Kota Kinabalu: Jawatankuasa kerjasama solidariti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) yang dimaklumkan menerusi Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS semalam belum sampai ke peringkat perbincangan dengan BN.

Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan, bagaimanapun berkata perkara itu mungkin sampai tidak lama lagi sejajar usaha mencapai solidariti GRS-BN.

Yakub ketika menyaksikan majlis menandatangani MoU di Wisma Bandaraya, Kota Kinabalu.

“Jadi mungkin di pihak GRS mengambil langkah untuk berfikir tentang arah GRS tetapi (perkara itu) belum lagi sampai ke peringkat kita untuk berbincang bersama BN.

“Insya-ALLAH ia akan sampai di peringkat perbincangan GRS dengan BN dalam solidariti ini,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) dengan Jawala Plantation Industries Sdn Bhd (JPISB) dan Forest Interactive Foundation (FIF) di Wisma Bandaraya, di sini, hari ini.

Diminta mengulas lanjut mengenai tujuan pembentukan jawatankuasa itu untuk mengelak pertembungan antara GRS dan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Yakub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai berkata, ia adalah pandangan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Itu adalah pandangan beliau (Datuk Seri Hajiji Noor), di pihak BN belum ada komen lagi,” katanya.

Semalam, Hajiji mengumumkan pembentukan jawatankuasa itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS di Menara Kinabalu.

Sementara itu, mengulas mengenai program yang dihadirinya, Yakub yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata, kerjasama KSTI dengan dua syarikat itu adalah untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dalam pembangunan sains, teknologi dan inovasi di negeri ini khususnya di sekolah.

“Syarikat ini juga menawarkan kepakaran mereka untuk bekerjasama dengan KSTI dalam pelbagai program sejajar usaha memperkasakan sains, teknologi dan inovasi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru lebih banyak syarikat atau individu yang berkemampuan dan mempunyai kemahiran untuk tampil bersama dengan KSTI bagi menjayakan misi Sabah Maju Jaya iaitu melahirkan masyarakat intelek, inovatif dan berkemahiran tinggi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|