Penjenayah pecah rumah diberkas orang awam

Penjenayah pecah rumah diberkas orang awam

Keningau: Cubaan seorang penjenayah melarikan diri selepas disyaki terbabit kes pecah rumah di sebuah taman perumahan di daerah ini, gagal apabila berjaya diberkas orang awam.

Suspek lelaki berusia 40-an warga tempatan ditahan di kawasan Taman Adika, di sini, semalam ketika cuba melarikan diri menggunakan kereta jenis Perodua Bezza.

Kejadian penahanan suspek terbabit turut tular di media sosial Facebook (FB).

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang Awam yang menahan seorang lelaki kerana disyaki terbabit dengan kes pecah rumah, jam 2.30 petang semalam.

Katanya, suspek ditahan ketika cuba melarikan diri menggunakan kereta Perodua Bezza warna hitam dengan nombor pendaftaran palsu.

“Sebaik menerima maklumat itu, sepasukan polis bergegas ke lokasi dan orang awam menyerahkan suspek kepada pihak polis.

“Suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nor Rafidah berkata, siasatan diteruskan dan suspek disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh rumah untuk mencuri.

Sementara itu, Nor Rafidah mengucapkan terima kasih kepada orang awam dan masyarakat yang membantu tertangkapnya suspek terbabit.

“Polis juga menasihati orang awam untuk tidak membuat sebarang spekulasi terhadap video yang tular di media sosial kerana akan menjejaskan siasatan polis,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|