Penampang, Beaufort dilanda banjir

Penampang, Beaufort dilanda banjir

Kota Kinabalu: Hujan berterusan sejak semalam, menyebabkan beberapa kawasan hotspot banjir di Penampang, Beaufort dilanda banjir.

Antara kawasan yang terjejas termasuklah Penampang Proper menyebabkan sembilan sekeluarga terpaksa dipindahkan kira-kira jam 2 pagi tadi.

Anggota APM melakukan pemantauan di kawasan kampung yang terjejas banjir.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam satu kenyataan berkata, semua mangsa termasuk tiga dewasa dan enam kanak-kanak itu dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kolam Renang Kompleks Sukan Penampang.

Katanya, setakat ini dua PPS dibuka di Sabah termasuklah PPS Dewan Kampung Airport Batu 10 Kunak yang menempatkan 66 mangsa daripada 13 keluarga dengan jumlah seramai 75 mangsa keseluruhan.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 22 kampung di Beaufort terjejas akibat banjir, namun tiada laluan yang dilaporkan terjejas buat masa ini.

Menurutnya, bacaan paras air bagi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Beaufort ialah 9.45 iaitu melebihi paras bahaya.

Katanya, keadaan paras air sungai Padas juga meningkat menyebabkan banyak kawasan banjir dinaiki air dan pihak Angkatan Pertahanan Awan (APM) Beaufort giat membuat pemantauan kawasan yang terjejas.

“Antara kawasan terjejas banjir termasuklah Kampung Binunuk, Balibata, Bakalau, Kuarters Kereta Api, Simpang 4 Chan, Bingkul, Lumatai, Melulugus, Mempagar, Limbawang, Bukau, Laboi, Luangan Sanginan, Lajau, Lubak, Batandok Lubak, Lupak Seberang, Tuhu, Beringin, Lago, Suasa dan Jaya Baru Lumadan.

“Setakat ini belum ada perpindahan penduduk ataupun pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Beaufort,” katanya.

Tambahnya, keadaan cuaca masih hujan di daerah terbabit buat masa ini.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|