Parah di rusuk kanan akibat diserang buaya

Parah di rusuk kanan akibat diserang buaya

Kota Marudu: Polis akan menghantar mayat mangsa baham buaya ke Hospital Pitas, untuk proses bedah siasat bagi mengesahkan punca sebenar kematian.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, mayat mangsa akan diambil dari Pulau Sibogoh, Kudat, untuk membantu siasatan lanjut.

Katanya, mangsa dikenali sebagai Serata berusia 40-an dan berketuruan Palauh yang bekerja sebagai nelayan.

“Kejadian berlaku Selasa lalu kira-kira jam 11 pagi apabila mangsa bersama dua rakannya turun ke laut untuk mengutip siput di kawasan perairan Kampung Pagason, Pitas, di sini.

“Mangsa dikatakan diserang secara tiba-tiba oleh seekor buaya dan meninggal dunia akibat kecederaan parah di rusuk kanan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Zairolnizal berkata, sebaik buaya berkenaan tidak lagi kelihatan, rakan-rakan mangsa berjaya membawanya naik ke Jeti Kampung Mapan-Mapan sebelum meninggal dunia.

Katanya, dakwaan yang dibuat rakan mangsa disahkan oleh Ketua Kampung Mapan-Mapan yang turut hadir di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke Pulau Sibogoh, Kudat, oleh ahli keluarga sebelum pasukan siasatan tiba di tempat kejadian.

“Berdasarkan siasatan yang dijalankan setakat ini, punca kematian mangsa dipercayai disebabkan kecederaan parah kesan gigitan buaya pada rusuk kanan mangsa ataupun lemas,” katanya.

Zairolnizal berkata, setakat ini, tiada sebarang unsur jenayah boleh dikaitkan dalam kes ini namun siasatan masih diteruskan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|