Sabah tewaskan PJ City 3-1

Sabah tewaskan PJ City 3-1

Kota Kinabalu: Kekecewaan penyokong Sabah FC berikutan kekalahan pada perlawanan pertama Liga Super, Jumaat lalu terubat apabila skuad Sang Badak berjaya menundukkan PJ City FC 3 – 1 dalam aksi kedua Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan Sabah mengutip tiga mata penuh dan meneruskan aksi selepas ini dengan lebih yakin serta bersemangat.

Antara aksi pemain Sabah FC menentang PJ City dalam aksi kedua Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Jumaat lalu, skuad Sang Badak tewas 1 – 0 ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) di tempat sama menyebabkan penyokong yang mengharapkan kemenangan bermain di tempat sendiri kecewa dengan keputusan berkenaan.

Secara keseluruhan, permainan Sabah FC malam ini lebih bertenaga berbanding ketika bertemu NSFC sebelum ini selain lebih banyak melakukan serangan dan cubaan sepanjang perlawanan menentang PJ City.

Dua gol Sabah malam ini dihasilkan pada babak pertama menerusi tandukan dua pemain import dari Braz, Jackson De Souza pada minit ke-16 dan Netto Pesoa pada minit ke-35.

Kedua-dua gol berkenaan terhasil menerusi tendangan percuma dan sepakan sudut yang disempurnakan Baddrol Bakhtiar sebelum disambut oleh Jackson dan Netto.

Harapan Sabah untuk mengekalkan keputusan 2 – 0 itu sehingga tamat babak pertama bagaimanapun tidak kesampaian apabila pemain PJ City, S Kumaran berjaya menewaskan Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-45.

Bersambung babak kedua, Sabah FC kembali dengan aksi agresif dalam usaha untuk menambah gol dan berjaya meledak gol ketiga pada minit ke-47 melalui pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani.

Saddil melakukan tendangan percuma dari luar kotak penalti pasukan lawan sebelum bola mengenai palang gol PJ City namun bernasib baik terpantul ke bawah dan terus memasuki gawang.

Serangan dan cubaan dilakukan pemain Sabah FC dan PJ City selepas itu gagal menghasilkan sebarang gol hingga ke akhir perlawanan sekali gus membolehkan skuad Sang Badak memenangi permainan dengan keputusan 3 – 1.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|