Putatan: Mayat seorang lelaki ditemui dengan kesan terbakar pada tubuhnya di sebuah pondok di kawasan pantai Lok Kawi, di sini, semalam.
Mayat lelaki terbabit ditemui oleh orang awam pada jam 12.30 tengah hari sebelum melaporkannya kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, bertindak atas maklumat berkenaan, sepasukan polis dari Balai Polis Putatan bergegas ke lokasi dan mengesahkan tetdapat satu mayat dalam keadaan terbakar di pondok kawasan pantai berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan awal Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah mendapati, tiada terkesan elemen jenayah dan senjata yang ditemui di tempat kejadian.
“Pemeriksaan di sekitar lokasi, menemui cecair yang mengandungi bahan mudah terbakar dan beberapa barangan peribadi termasuk kenderaan milik mangsa.
“Berdasarkan maklumat mangsa berusia 22 tahun dan alamat terakhir di Taman Tanaki, Penampang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Haris berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, untuk tujuan bedah siasat.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat,” katanya.
-Deasoka