Mangsa kebakaran di PPS meningkat kepada 769 penduduk

Mangsa kebakaran di PPS meningkat kepada 769 penduduk

Kudat: Jumlah penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Tun Mustapha, di sini, meningkat daripada 380 kepada 769 orang setakat jam 4 petang ini.

Jumlah itu membabitkan 144 keluarga yang terjejas selepas 179 rumah yang mereka diami musnah dalam kebakaran di perkampungan atas air Kampung Landung Ayang, di sini, semalam.

Pertambahan itu dipercayai berikutan usaha mendaftarkan mangsa yang terjejas masih dilakukan pihak Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA).

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah, semua mangsa dipindahkan selepas PPS dibuka pada jam 10 malam tadi.

Menurut laporan itu lagi, pihak JPKA ketika ini masih giat melakukan pendaftaran kepada mangsa yang terjejas dalam kebakaran itu.

Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) memaklumkan masih ada mangsa yang belum berdaftar disebabkan trauma dan ada mangsa yang tinggal bersama ahli keluarga terdekat buat sementara waktu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|