Covid-19 Sabah: Tiga lagi kluster baharu institusi pendidikan diisytihar hari ini

Covid-19 Sabah: Tiga lagi kluster baharu institusi pendidikan diisytihar hari ini

Kota Kinabalu: Tiga lagi kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini menjadikan 41 kluster aktif di seluruh negeri setakat ini dengan 31 daripadanya berkaitan institusi pendidikan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata setakat hari ini hanya satu kluster berkaitan institusi pendidikan ditamatkan iaitu Kluster Jalan Kepayan Tambunan membabitkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan.

Katanya, tiga kluster baharu yang direkodkan hari ini juga berkaitan institusi pendidikan, masing-masing satu di daerah Kota Belud dan dua lagi diisytiharkan di daerah Ranau.

Beliau berkata, Kluster Batu Enam Kota Belud yang diisytiharkan di Kota Belud hari ini membabitkan pelajar asrama SMK Taun Gusi 2.

“Kes indeks adalah seorang pelajar perempuan 15 tahun yang mula bergejala pada 9 Februari dan didapati positif pada 10 Februari ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kota Belud.

“Saringan terhadap kontak rapat yang terdiri daripada rakan sebilik dan rakan sekelas mendapati lebih ramai yang terjangkit menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 sebanyak 19 kes setakat hari ini.

“Semua kes sudah dihantar ke pusat kuarantin dan diberikan rawatan selanjutnya. Kontak rapat tidak bergejala juga diberikan perintah kuarantin,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Sementara itu, di Ranau, jangkitan membabitkan warga SMK Ulu Sugut mencetuskan Kluster Jalan Sugut Ranau selepas seorang guru wanita berumur 39 tahun dikesan positif Covid-19 melalui saringan bergejala pada 7 Februari lalu.

Masidi berkata, saringan terhadap kontak rapat mendapati lebih ramai yang didapati positif dengan jumlah keseluruhan setakat hari ini sebanyak 49 kes.

“Satu lagi kluster institusi pendidikan di daerah Ranau ialah Kluster Kemburongoh 2 yang membabitkan warga SMK Kemburongoh.

“Kes indeks adalah seorang lelaki beumur 52 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah berkenaan. Dia didapati positif Covid-19 melalui saringan bergejala pada 7 Februari lalu.

“Secara keseluruhannya jumlah kumulatif yang positif setakat hari ini ialah 54 kes,” katanya.

Secara keseluruhan, Sabah hari ini merekodkan sebanyak 4,794 kes baharu Covid-19 berbanding 5,082 kes semalam dengan daerah Kota Kinabalu kekal mencatat kes tertinggi sebanyak 904 kes, diikuti Penampang (513), Sandakan (459) dan Tuaran (444).

Daripada jumlah itu, sebanyak 99.56 peratus atau 4,773 daripada 4,794 kes berada dalam Kategori 1 dan 2, manakala 11 kes dalam Kategori 3, sembilan kes dalam Kategori 4 dan satu kes dalam Kategori 5.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 17 Februari 2022
Sabah 4,794 (5,082)

Kota Kinabalu 904 (1,086)
Penampang 513 (463)
Sandakan 459 (500)
Tuaran 444 (421)
Papar 347 (313)
Tawau 273 (310)
Lahad Datu 242 (263)
Beaufort 203 (144)
Ranau 195 (266)
Kota Belud 156 (137)
Kota Marudu 149 (216)
Keningau 136 (181)
Putatan 128 (222)
Kuala Penyu 90 (61)
Tambunan 72 (47)
Beluran 71 (52)
Tenom 56 (31)
Kunak 53 (49)
Pitas 52 (34)
Kinabatangan 51 (40)
Sipitang 51 (53)
Telupid 47 (45)
Semporna 43 (45)
Kudat 25 (51)
Nabawan 18 (30)
Kalabakan 16 (0)
Tongod 0 (22)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 16 Februari 2022

Kluster Baharu

  1. Kluster Batu Enam
    Kota Belud,
    Kota Belud 19 (+8)
    (Kluster Institusi Pendidikan)
  2. Kluster Jalan Sugut Ranau,
    Ranau 49 (+17)
    (Kluster Institusi Pendidikan)
  3. Kluster Kemburongoh 2,
    Ranau 54 (+1)
    (Kluster Institusi Pendidikan)

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|