Beri kuasa kerajaan negeri urus warga asing di Sabah

Beri kuasa kerajaan negeri urus warga asing di Sabah

Kota Kinabalu: Hanya kerajaan negeri lebih memahami masalah berkaitan warga asing di Sabah berbanding kerajaan persekutuan.

Sehubungan itu, kerajaan Sabah sepatutnya diberikan kuasa penuh untuk mentadbir, memutuskan dan mengawal hal berkaitan pengurusan imigresen serta pendaftaran penduduk di negeri ini.

Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Wong Thien Fook berkata, berbekalkan kepada pemindahan kuasa itu, sudah pasti masalah warga asing di negeri ini dapat diselesaikan.

Katanya, masalah warga asing sudah berlanjutan sejak berdekad lamanya dan sehingga ke hari ini, segala usaha hanya mampu sampai ke peringkat cadangan tanpa sebarang pelaksanaan.

“Sampai bila kita harus membiarkan masalah warga asing di negeri ini berlanjutan. Jalan terbaik adalah dengan memberikan kuasa kepada kerajaan negeri untuk menguruskan hal ini sebaiknya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Thien Fook yang juga Ketua Bahagian UPKO Sepanggar berkata, cadangan pengeluaran kad pengenalan warga asing oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin jelas membelakangkan rakyat Sabah.

Katanya, kenyataan terbaharu yang dikeluarkan baru-baru ini juga jelas menunjukkan beliau tidak mahu menerima pandangan pelbagai pihak di Sabah.

“Hasrat atau cadangan yang dikeluarkan beliau amat meragukan terutamanya ketika negara berada diambang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Cukuplah, kami sebagai rakyat Sabah sudah lama mahu perkara ini diselesaikan. Malah masalah warga asing ini sudah menjadi terlalu serius kerana ia membabitkan beberapa generasi.

“Tetapi, sekiranya mereka berkeras untuk meneruskan hasrat mereka, kita cadangkan mereka untuk memindahkan semua warga asing yang bakal mempunyai kad pengenalan khas itu ke negeri-negeri di Semenanjung Malaysia,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|