Mangsa banjir mencecah 3,385 di 30 PPS

Mangsa banjir mencecah 3,385 di 30 PPS

Kota Kinabalu: Jumlah mangsa banjir meningkat kepada 3,385 orang di enam daerah yang terjejas akibat banjir setakat jam 8 pagi, hari ini.

Mengikut laporan kemas kini yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, angka itu meningkat seramai 75 mangsa berbanding laporan terakhir yang dikeluarkan petang semalam.

Manakala bagi pusat pemindahan sementara (PPS) pula, jumlah keseluruhan yang aktif turun kepada 30 PPS selepas penutupan PPS Kampung Kiabau, Beluran, malam tadi.

Laporan yang dikeluarkan juga menunjukkan, semua mangsa terdiri daripada 1,329 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir.

Kota Marudu masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,668 mangsa membabitkan daripada 1,120 KIR yang ditempatkan di 14 PPS yang dibuka.

Manakala bagi daerah Pitas pula, merekodkan seramai 319 mangsa membabitkan 120 KIR yang ditempatkan di empat PPS.

Selain itu, seramai 216 mangsa daripada 49 KIR direkodkan di tujuh PPS Telupid dan 99 lagi mangsa membabitkan 23 KIR masih berada di tiga PPS di Paitan.

Dua lagi daerah lain kekal merekodkan mangsa banjir iaitu Sandakan dengan seramai 45 mangsa melibatkan tujuh keluarga di satu PPS manakala di Beluran 38 mangsa daripada 10 KIR yang masih berada satu PPS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|