Peka dengan keselamatan diri semasa di laut

Peka dengan keselamatan diri semasa di laut

Kota Kinabalu: Komuniti maritim diingatkan supaya sentiasa peka dengan tahap keselamatan semasa melaksanakan sebarang aktiviti di perairan negeri ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, ia berikutan keadaan cuaca buruk yang berlaku di seluruh negara khususnya di Sabah.

Katanya, keadaan itu boleh mendatangkan insiden yang tidak diingini berlaku, sekiranya komuniti laut lalai dengan tahap keselamatan diri.

“Merujuk kepada amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) 3 Januari lalu, keadaan angin kencang dan laut bergelora kategori pertama adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut, sukan laut serta aktiviti lain di laut.

“Angin kencang sehingga 50 kilometer sejam beserta laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter dijangka akan berterusan sehingga esok,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Rosli berkata, sepanjang tempoh empat hari pertama tahun baharu 2022, Maritim Malaysia sudah merekodkan dua kes CARILAMAT.

“Kes pertama, kejadian bot karam di perairan Batu Payung, Tawau, pada 1 Januari lalu yang membabitkan sembilan mangsa dengan tiga daripada mangsa meninggal dunia.

“Manakala kes kedua berlaku di perairan Lambidan, Menumbok membabitkan seorang lelaki yang dikhuatiri lemas semasa melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan pesisiran pantai, pagi semalam,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Rosli berkata, Maritim Malaysia menyeru kepada semua komuniti maritim untuk sentiasa peka dengan keadaan serta perubahan cuaca, pastikan keadaan bot selamat untuk digunakan, pakai jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut.

Katanya, sebarang kejadian kecemasan yang berlaku di laut boleh terus hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan ditalian 088-387774.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|