Juragan cuba seludup keluar petrol ditahan

Juragan cuba seludup keluar petrol ditahan

Semporna: Cubaan seorang juragan menyeludup keluar petrol bersubsidi bernilai RM25,800 ke negara jiran gagal selepas kegiatannya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan laut Tanjung Menimpa, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Markas PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, hasil pemantauan dan risikan mengesan sebuah bot laju yang dijuragani seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di perairan daerah ini.

Katanya, anggota PPM kemudiannya melakukan operasi dan menahan bot dipandu lelaki terbabit berusia 24 tahun untuk tujuan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan terhadap bot berkenaan menemui beberapa tong berisi petrol.

“Semua minyak berkenaan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dengan menggunakan bot laju,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM25,800 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawasan Bekalan 1961,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, maklumat boleh disalurkan terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|