Lahad Datu: Orang ramai tidak perlu panik dengan kejadian fenomena letusan gunung berapi lumpur yang berlaku di Taman Hidupan Liar Tabin, di sini semalam.
Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen Mohd Dzul berkata, fenomena itu tidak berbahaya dan semua penduduk jangan khuatir.
“Kita minta semua penduduk jangan cemas dengan kejadian itu kerana difahamkan ia tidak mendatangkan bahaya sama sekali.
“Saya difahamkan juga fenomena itu pernah terjadi sebelum ini dan pakar geologi Sabah telah menjelaskan ia adalah kejadian biasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Jurucakap Tabin Wildlife Reserve Lawrence Chin berkata, kejadian itu bukan pertama kali berlaku kerana ia pernah terjadi pada tahun 2014 lalu di kawasan yang sama.
Katanya, letusan lumpur itu disaksikan oleh sekumpulan lapan orang termasuk pelancong dan pemandu pelancong sebelum tular di media sosial.
“Sewaktu kejadian, kumpulan itu dalam perjalanan untuk memerhati burung dan menikmati panorama sekitar kawasan tersebut.
“Fenomena yang terletak di Lipad Mud Volcano itu berkeluasan hampir sebesar padang bola dan dilihat oleh pelancong berkenaan ketika berada di kawasan tinggi,” katanya.
Menurutnya, fenomena itu berlaku kira-kira 10 minit termasuk kejadian letusan yang kuat dan hanya mengeluarkan buih-buih sahaja.
“Lumpur yang dikeluarkan juga tidak berasa panas sama sekali dan pelancong berkenaan tidak melepaskan peluang mengambil lumpur berkenaan,” katanya.
Malam tadi, tular di media sosial video berdurasi 10 saat memaparkan letupan gunung berapi memuntahkan lumpur yang berlaku di kawasan berkenaan.
-Deasoka