PRU-15: Jangan biarkan kesilapan PRU-14 berulang – Bung Moktar

PRU-15: Jangan biarkan kesilapan PRU-14 berulang – Bung Moktar

Kinabatangan: Rakyat diingatkan tidak membiarkan kesilapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan tiada satu parti dominan untuk menjadi kerajaan daripada berulang.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kesilapan memilih itu menyebabkan ketidakstabilan politik negara sehingga sekarang.

Bung Moktar merasmikan mesyuarat berkelompok cawangan UMNO Zon Bukit Garam di Kinabatangan.

Beliau berkata, keadaan itu bukan satu gambaran yang baik kerana kerajaan memerintah terumbang-ambing hingga merencatkan pembangunan dan ekonomi negara yang kesannya terpaksa dihadapi rakyat.

Katanya, peluang juga sudah diberikan kepada parti lawan mengambil alih tampuk pemerintahan negara, namun gagal melaksanakan janji manifesto selama 22 bulan memerintah, sebaliknya hanya menumpukan dendam kesumat kepada pemimpin UMNO dan Batisan Nasional (BN).

Bung Moktar menyerahkan watikah pelantikan Pengarah Operasi DUN 57 Kuamat dan DUN 58 Lamag kepada Jibrah Jahaya.

Berikutan itu, katanya UMNO dan BN bertekad memastikan kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umun Ke-15 (PRU-15) nanti adalah sebuah kerajaan yang stabil demi kemakmuran dan kepentingan rakyat.

“Justeru untuk menang kita mesti bekerja cara menang bukannya melaksanakan tugas yang diamanahkan secara sambil lewa. Dekatilah ahli dan rakyat untuk menarik sokongan padu mereka kepada UMNO dan BN pada PRU-15 yang kini diambang pintu untuk diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian mesyuarat berkelompok cawangan-cawangan UMNO Zon Bukit Garam di dewan SMK Bukit Garam, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua UMNO Kinabatangan Datuk Jafry Arifin; Naib Ketua Bahagian UMNO Kinabatangan, Pg Aziz Pg Damsah; Setiausaha UMNO Kinabatangan, Wad Daud Kahar; Ketua Penerangan UMNO Kinabatangan, Datuk OKK Titing Putang; Ketua Wanita, Aminah Johan; Ketua Pemuda, Mohd Kurniawan Naim dan Ketua Puteri, Norhamiza Tinih.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Kinabatangan, berkata momentum ahli parti ketika ini adalah lebih baik dan meningkat jika dibandingkan pada peringat awal ketika BN tewas pada PRU-14.

Situasi itu, katanya seharusnya digunakan jentera parti untuk terus menaikkan semangat ahli agar memilih BN pada PRU-15.

“Kita bukan sahaja perlukan semangat, kita juga perlu strategi dan tindakan. Justeru cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri perlu memainkan peranan masing-masing menemui pengundi dengan menganjurkan seberapa banyak program agar ahli lebih mesra dan dekat dengan parti,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|