Lelaki ditahan ketika leka punggah rokok seludup

Lelaki ditahan ketika leka punggah rokok seludup

Tawau: Seorang lelaki yang leka memunggah barangan dipercayai rokok seludup ditahan dalam kejadian di kawasan Kampung Jawa, di sini, semalam.

Suspek berusia berusia 33 tahun itu ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau bersama rokok pelbagai jenama dipercayai dibawa masuk dari Indonesia.

Rokok seludup yang dirampas oleh PPM Tawau.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, pihaknya membuat pemantauan terhadap seorang lelaki yang mencurigakan sedang memindahkan beberapa kotak dipercayai rokok seludup ke dalam kenderaan.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui sejumlah kotak rokok disyaki tidak bercukai dipercayai dibawa masuk dari Indonesia.

“Suspek ditahan dan semua rokok termasuk kenderaan telah dirampas untuk tindakan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM130,684.64,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ridzauddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, beliau berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat dalam mengekang jenayah terutama jenayah rentas sempadan.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197 atau bilik gerakan PPM Tawau di talian 089-983628.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|