Sabah mahu tarik semula kedatangan pelancong China

Sabah mahu tarik semula kedatangan pelancong China

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah berharap pelancong China kembali menjadikan negeri ini sebagai destinasi percutian utama apabila pintu sempadan negara dibuka kepada pelawat antarabangsa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kedatangan pelancong asing khususnya dari China dapat membantu merancakkan aktiviti pelancongan negeri seperti sebelum pandemik Covid-19.

Hajiji (kanan) bertukar cenderamata dengan Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Liang Caide.

“Pandemik Covid-19 menyebabkan sektor pelancongan terjejas teruk, namun dengan pembukaan semula sempadan negara kepada pelawat antarabangsa dalam tempoh terdekat, kita berharap ramai pelancong dari China akan kembali melawat Sabah.

“Ia dapat membantu pemulihan sektor pelancongan tempatan dan meningkatkan ekonomi negeri”, katanya ketika menerima kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Liang Caide di kediaman rasminya di Sri Gaya, di sini, semalam.

Hajiji juga berharap Caide dan Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia membantu mempromosikan Sabah sebagai antara destinasi pelancongan utama di negara berkenaan.

Beliau berkata, Sabah juga mengalu-alukan pelaburan asing terutama dari negara China untuk bersama-sama membangunkan pelbagai sektor utama di negeri ini seperti perindustrian, pembinaan, pelancongan, pertanian dan industri berteknologi tinggi yang baharu.

“Kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus bekerjasama erat dengan Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu dan Kedutaan China untuk menarik lebih ramai pelabur China ke Sabah, yang akan membantu merancakkan pertumbuhan sektor ekonomi negeri ini.

“Hubungan baik dan kerjasama yang sedia terjalin di antara Sabah dan China akan terus diperkukuhkan lagi kerana ia memberi banyak manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Terdahulu, Caide memberi taklimat kepada Hajiji mengenai perkembangan terkini negara di China dan usaha yang dilakukan oleh pejabatnya dalam membantu mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan, pelaburan dan perdagangan.

-Deasoka

Share

Written by:

731 Posts

View All Posts
Follow Me :
error: Content is protected !!