Lelaki aktif curi motosikal, pecah rumah di Tawau ditahan

Lelaki aktif curi motosikal, pecah rumah di Tawau ditahan

Tawau: Polis memberkas seorang lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) disyaki aktif dalam kegiatan curi kenderaan dan pecah rumah di sekitar daerah ini, Jumaat lalu.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai, kira-kira jam 11 malam.

Suspek ditahan polis selepas disyaki aktif melakukan jenayah curi dan pecah rumah di sekitar Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek diberkas di sebuah rumah di Kampung Simpang Tiga, Merotai Besar.

Katanya, hasil serbuan itu menemui beberapa barang yang dilaporkan dicuri oleh suspek yang disembunyikan di rumahnya.

Motosikal disyaki dicuri oleh suspek turut ditemui.

“Suspek dipercayai aktif melakukan jenayah curi motosikal dan kes pecah rumah di sekitar daerah ini.

“Pemeriksaan lanjut suspek tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah di negara ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jasmin berkata, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|