Penduduk Pulau Gaya rayu masalah kemudahan asas, infrastruktur diselesaikan

Penduduk Pulau Gaya rayu masalah kemudahan asas, infrastruktur diselesaikan

Kota Kinabalu: Seramai lebih 5,000 penduduk di Pulau Gaya merayu agar kerajaan dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi, bagi membolehkan mereka menikmati keselesaan sama seperti di kawasan lain di pusat bandar raya ini.

Presiden Pertubuhan Prihatin Rakyat Sabah (PPRS), Datuk Mohd Fadli Fathullah berkata, antara yang disuarakan adalah berkenaan kemudahan asas dan infrastruktur yang sepatutnya dinikmati rakyat di kawasan berkenaan.

Mohd Fadli meninjau isu sampah di pesisir pantai Pulau Gaya yang turut menjadi masalah penduduk di pulau berkenaan.

“Hari ini PPRS mengadakan siri lawatan kedua ke Pulau Gaya dan ia mendapat sambutan yang menggalakkan, di mana seluruh jawatankuasa PPR telah mengambil aduan masalah rakyat di kawasan ini.

“Masalah yang dihadapi penduduk di sini ialah bekalan elektrik, bekalan air bersih, jambatan sekolah dan juga dewan masyarakat yang sudah lama diimpikan penduduk Kampung Pondo, di sini,” katanya dalam satu kenyataan selepas siri lawatan di pulau berkenaan, hari ini.

Pertemuan PPRS dengan penduduk di Pulau Gaya, Kota Kinabalu.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil inisiatif dengan membantu rakyat di kawasan berkenaan memandangkan isu itu sudah berlarutan hampir 30 tahun.

“Majoriti lebih 5, 000 penduduk tempatan di sini dan mereka perlu dibantu di mana masalah kemudahan infrastruktur ini sejak lebih 10 tahun dan berlarutan hingga 30 tahun lamanya.

“Jadi menerusi inisiatif pihak PPRS hari ini juga, kami telah meluluskan dana untuk membaik pulih jeti dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.

Selain itu, Mohd Fadli berkata, pengurusan sampah di Pulau Gaya juga harus diberi perhatian oleh pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terutama membabitkan kawasan pesisiran pantai pulau.

Sehubungan itu, Mohd Fadli berkata, PPRS akan terus menyuarakan semua masalah yang dihadapi penduduk di pulau berkenaan untuk diambil tindakan segera.

“Kami berharap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen yang bertanggungjawab di kawasan ini memandang serius mengenai masalah rakyat disini,” katanya.

Turut hadir pada lawatan itu ialah Timbalannya, Sidnan Musi dan Suhaimi Buang serta Ahli Jawatankuasa (AJK) terlibat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|