Kes tetak bayi dan anak saudara, suspek alami kemurungan

Kota Kinabalu: Suspek kes tetak yang menyebabkan kematian bayi berusia enam bulan dan mencederakan anak saudara di Kinabatangan dipercayai disebabkan kemurungan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan awal mendapati suspek menghadapi masalah kemurungan berkenaan sejak dua tahun lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun

Katanya, berdasarkan maklumat daripada pihak keluarga dan jiran tetangga, suspek juga seolah-olah tidak diberikan perhatian oleh ahli keluarganya.

“Keadaan ini dipercayai menyebabkan suspek stress dan terasa tertekan menyebabkannya hilang kawalan dan melampiaskan emosi dengan mengamuk.

“Salah satu lagi punca suspek semakin murung dan stress dipercayai disebabkan salah seorang anaknya sebelum ini ditangkap pihak berkuasa kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah.

Bagaimanapun Jauteh berkata, polis sudah mengambil sampel darah suspek untuk mengenalpasti sama ada suspek terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah atau berada dibawah pengaruh alkohol ketika kejadian.

Katanya, suspek masih ditempatkan di hospital untuk rawatan selepas cedera ketika ditahan oleh orang ramai di lokasi kejadian.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam kejadian 10 Mei lalu, seorang bayi berusia enam bulan maut apabila terjatuh manakala ibunya cedera selepas ditetak oleh suspek di sebuah rumah tidak bernombor, Kampung Ubi Sungai Pauh, Kinabatangan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|