Duda ditahan bersama 10.4 kilogram syabu

Kota Kinabalu: Seorang lelaki ditahan bersama 10 bungkusan dadah jenis methamphetamine atau syabu dengan anggaran berat 10.4 kilogram.

Semua dadah yang dibungkus menggunakan pek teh cina berkenaan dianggarkan bernilai RM360,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

Bungkusan teh Cina berisi dadah syabu berat 10.4 kilogram yang dirampas pasukan JSJN Sabah

Suspek yang berstatus duda berusia 40 tahun terbabit ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di kawasan perumahan Taman Sri Rugading, Tuaran, jam 10 malam, Ahad lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, suspek yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Prado ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.

Jauteh (kanan) memeriksa bungkusan berisi dadah syabu yang dirampas pasukan JSJN Sabah.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, pasukan serbuan menemui satu kotak berisi 10 bungkusan plastik teh Cina di dalam kenderaan yang dipandu suspek.

“Pemeriksaan lanjut mendapati setiap bungkusan itu berisi dadah jenis methamphetamine atau syabu dengan berat kasar 10.4 kilogram bernilai RM360,000,” katanya dalam sidang media Auditorium, tingkat 5, IPK Sabah, Kepayan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua JSJN Sabah Asisten Komisioner Lam Thiam Huat.

Mengulas lanjut, Jauteh berkata, siasatan mendapati dadah syabu itu disyaki dari Kuala Lumpur dengan menggunakan perkhidmatan servis kurier dan dibawa masuk untuk pasaran di negeri ini.

“Polis juga tidak menolak kemungkinan tangkapan dan rampasan ini ada kaitan dengan sindiket yang ditumpaskan sebelum ini.

“Makluman juga, dadah yang dirampas ini mampu untuk menampung kegunaan hampir 50,000 penagih,” katanya.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan polis percaya terdapat dua lagi individu yang dikenal pasti terbabit dalam kegiatan ini.

“Kedua-dua suspek terbabit sedang dikesan polis JSJN Sabah.

“Manakala suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|