Kanak-kanak hilang berjaya ditemui

Kota Kinabalu: Niat suci sepasang suami isteri membantu dalam misi pencarian adik Jayden Gabriel Peter, 5, yang hilang sejak semalam, akhirnya berhasil apabila berjaya menemui kanak-kanak berkenaan, di Bukit Janggut, Sepanggar, di sini, hari ini.

Misi pencarian yang dilakukan secara sukarela berkenaan tercetus selepas terbaca berita mengenai kehilangan kanak-kanak autisme berkenaan, awal pagi tadi.

Sharil Md Syukur, 33

Sharil Md Syukur, 33, berkata, dia dikejutkan oleh isteri, Marsha Marcella yang mempelawanya untuk membantu mencari kanak-kanak terbabit bersama beberapa lagi rakan yang lain.

Katanya, tanpa berfikir panjang, dia bersetuju walaupun tidak mengetahui keadaan sebenar di lokasi pencarian termasuk tiada persiapan secukupnya.

Ahli keluarga Jayden berterima kasih kepada Marsha dan semua yang terlibat dalam misi pencariannya selepas dilaporkan hilang sejak semalam.

“Saya masih lagi dalam keadaan belum bersedia tetapi hanya bersetuju dengan cadangan isteri untuk membantu mencari adik Jayden.

“Saya hanya sempat mencari parang apabila mengetahui lokasi sebenar pencarian adalah kawasan hutan dan semak samun,” katanya ketika ditemui selepas berjaya menemui kanak-kanak terbabit.

Jayden Gabriel Peter, 5, kanak-kanak autisme yang dilaporkan hilang semalam ditemui tengah hari tadi di Bukit Janggut, Sepanggar.

Menceritakan semula pengalaman menemui mangsa, Sharil berkata, selepas hampir sejam menyusuri kawasan hutan berkenaan, dia yang kepenatan terus berehat di bawah sebatang pokok di kawasan puncak bukit berkenaan.

Katanya, dia yang mendahului isteri dan rakan-rakan lain, langsung tidak menyedari kanak-kanak terbabit sebenarnya hanya berada kira-kira 20 meter daripada tempatnya berehat.

“Sebaik isteri dan rakan-rakan sampai berhampiran, mereka menjerit memberitahu saya kelibat kanak-kanak terbabit.

“Saya terkejut dan langsung tidak menyangka kedudukannya yang sangat dekat. Saya terus menuju ke arah Jayden untuk mengambilnya,” katanya.

Sharil berkata, mereka sangat bersyukur kerana dapat membantu mencari kanak-kanak terbabit yang hilang sejak semalam.

Katanya, rasa kasih sayang terhadap anak-anak dan dasar keibubapaan sememangnya menjadi azimat kepada mereka untuk membantu mencari Jayden.

Kanak-kanak berkenaan ditemui pada jam 1.10 tengah hari tadi selepas usaha pencarian membabitkan pelbagai pihak termasuk anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan polis sejak awal pagi tadi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|