Hampir 1,000 individu jalani latihan kemahiran kraf PKAN

Hampir 1,000 individu jalani latihan kemahiran kraf PKAN

Kota Kinabalu: Sejak diperkenalkan pada 2016, seramai 994 orang telah dan sedang mengikuti latihan kemahiran kraf di bawah Program Khas Anak Negeri (PKAN) di Pusat Warisan Kraf Yayasan Sabah College of Technology (YSCT).

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag berkata, daripada jumlah itu, seramai 94 orang sedang mengikuti latihan kemahiran kraf pada tahun ini, selama tiga hingga 10 bulan.

Juliah melihat hasil kraftangan yang dipamerkan sempena Majlis perasmian Pusat Warisan Kraf Yayasan Sabah College of Technology di Kota Kinabalu.

Katanya, kerajaan Persekutuan menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah (UPEN) telah memperuntukkan sebanyak RM9.9 juta untuk program ini sejak tahun 2016 termasuk RM880,000 pada tahun ini.

“Apa yang membanggakan latihan kemahiran kraf ini telah memberi manfaat kepada hampir 1,000 anak-anak kita di Sabah.

“Saya juga dimaklumkan bahawa pelatih ini adalah yang sudah bekerja dalam industri kraf termasuk bekerja sendiri.

“Saya berharap Pusat Warisan Kraf YSCT dapat mentadbir dan mengurus pelaksanaan kursus kraftangan dengan sebaiknya di samping mampu mengendalikan Kursus Latihan Kemahiran Kraftangan yang berkualiti dan memberi pendedahan kepada pelatih mengenai produk kraf yang bernilai tinggi dan boleh dikomersilkan.

“Bukan itu sahaja, pusat ini dapat melatih pelatih yang mahir seni dan boleh membangun komuniti kraf berorientasikan perniagaan,” katanya ketika merasmikan Bangunan Pusat Warisan Kraf Yayasan Sabah College of Technology (YSCT) di Pusat Warisan Kraf Kota Kinabalu, hari ini.

Juliah yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, latihan kemahiran kraf di bawah Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah sentiasa prihatin terhadap golongan anak negeri yang berpendapatan rendah dengan menyediakan latihan kemahiran dalam bidang kraftangan.

Katanya, usaha ini bagi membantu golongan ini memperkasakan kemahiran diri sekali gus membangunkan sosioekonomi sendiri dan kepada negeri yang seimbang.

Jelasnya, usaha YSCT melalui Pusat Warisan Kraf yang komited dalam menawarkan program latihan kraf yang berkualiti, memberi manfaat yang besar kepada anak-anak muda kita di negeri ini.

“Program seperti ini akan membantu dalam merealisasikan pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat. Pembangunan modal insan merupakan faktor kritikal bagi menjana dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Tambahnya, beliau ingin lebih banyak produk kraftangan warisan pelbagai suku kaum di negeri ini seperti produk anyaman serdang, anyaman rotan, perang Bajau, tenunan dastar dan kraf kulit kayu, yang mempunyai keunikan tersendiri dan menjadi identiti bagi negeri di bawah bayu, diketengahkan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|