Festival Budaya Malaysia UCSF 2022 pupuk rasa cinta terhadap negara

Festival Budaya Malaysia UCSF 2022 pupuk rasa cinta terhadap negara

Kota Kinabalu: University College Sabah Foundation (UCSF) baru-baru ini menganjurkan program Festival Budaya Malaysia 2022 sempena Bulan Kemerdekaan dengan kerjasama Lembaga Kebudayaan Sabah.

Festival berkenaan memperlihatkan konsep kepelbagaian budaya di Malaysia hasil usahasama seramai 131 mahasiswa di bawah bimbingan pensyarah subjek Budaya Malaysia, Sharmimie Hussain.

Dean Alvin membentangkan pameran dalam bahasa Dusun.

Program itu bertujuan memenuhi keperluan subjek Budaya Malaysia selain memperlihatkan konsep dan kepelbagaian budaya yang terdapat di negara ini dengan sebanyak lima budaya tradisi kumpulan etnik dipersembahkan iaitu Melayu, India dan Cina serta budaya Sabah dan Sarawak.

Antara aktiviti menarik yang diadakan sepanjang festival itu ialah persembahan tarian etnik, pameran dan gerai makanan tradisi serta pertunjukan fesyen pakaian tradisional pelbagai etnik.

Iftitah Al-Adam

Turut hadir memeriahkan program Festival Budaya Malaysia itu ialah Ketua Jabatan Unit Bahasa dan Pembangunan Generik UCSF, Noorashiqin Ahmad.

Beliau berkata inisiatif itu penting bagi memenuhi keperluan subjek Budaya Malaysia selain memperlihatkan konsep kewujudan bersama.

Dr Rafiq bersama barisan pensyarah UCSF dan pegawai Lembaga Kebudayaan Sabah.

Program itu, katanya tidak mungkin berjaya tanpa sokongan padu daripada pihak pengurusan UCSF iaitu Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Datuk Dr Yaakub Johari dan Naib Canselor UCSF, Dr Rafiq Idris.

“Melalui kerjasama ini hasilnya akan menjadikan pelajar lebih peka dengan budaya mereka sendiri dan budaya Malaysia secara amnya. Contoh yang paling menarik ialah kumplan budaya Sabah yang telah memenangi gerai terbaik kerana susun atur kraftangan, makanan dan keterangan berdasarkan penyelidikan,” katanya.

Sementara itu, Rafiq berkata, semangat cintakan negara, seni dan budaya adalah antara perkara yang sering dipupuk serta diberi penekanan oleh universiti.

Dalam hal itu, katanya UCSF sentiasa menggalakkan aktiviti kebudayaan sejajar kepentingan untuk memahami dan menghargai perbezaan budaya dalam masyarakat berbilang kaum.

Bersempana bulan kemerdekaan, beliau turut menegaskan bahawa kemerdekaan adalah sesuatu yang sangat bernilai dan melibatkan pengorbanan serta penat lelah pemimpin terdahulu dan nenek moyang generasi hari ini.

“Justeru, hayati dan hargailah makna kemerdekaan negara,” katanya.

Menariknya, Ketua Kumpulan pameran budaya Sabah, Dean Alvin Warith, mengambil inisiatif menerangkan pameran budaya Sabah menggunakan bahasa ibundanya iaitu Dusun, disusuli dengan ahli kumpulan itu yang juga bertutur dalam bahasa ibunda mereka.

Bagi memberi kefahaman kepada pelawat gerai yang tidak memahami sepenuhnya bahasa ibunda yang dituturkan, mereka juga menyediakan penerangan dalam Bahasa Malaysia.

Usaha mereka mengagumkan Ketua Panel Pemilihan Pameran Terbaik yang juga Penolong Pegawai Tadbir, Ketua Unit Pemasaran, Lembaga Kebudayaan Sabah, Dayang Hafsah Abdul Nain.

Pengerusi festival itu, Iftitah Al-Adam puls berkata, beliau berasa amat bertuah dapat menyertai program itu dan berpeluang belajar banyak perkara seperti toleransi, perpaduan dan cara kumpulan etnik berpakaian.

Beliau turut gembira dapat menyajikan makanan masakannya sendiri untuk rakan-rakan dan pensyarahnya.

Pensyarah Pusat Bahasa dan Pembangunan Generik UCSF, Sharmimiee Mohd Hussain, berkata mahasiswa dapat berinteraksi dan memupuk perpaduan kaum melalui proses pelaksanaan tugasan.

“Perpaduan adalah elemen penting bagi mengekalkan keharmonian dalam era teknologi yang semakin mencabar. Program ini sesuai dan wajar diteruskan bagi memupuk generasi yang lebih bertoleransi dan menjadikan perpaduan sebagai satu elemen penting dalam diri mereka,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|